thumbnail

Buah dan Personaliti

Posted by mimisabreena on Friday, November 13, 2020

Buah-buahan kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral yang bermanfaat untuk kesihatan anda. Terdapat kajian yang telah dijalankan oleh Dr. Barnett di US berkaitan buah dan personaliti. Menurut Dr. Barnett, personaliti seseorang dapat dinilai berdasarkan kepada buah-buahan kesukaannya. 

Buah dan Personaliti
Buah dan Personaliti - Gambar kredit: thejigsawpuzzles.com

Dr. Barnett telah mengkelaskan kepada tujuh kategori buah-buahan mengikut personaliti seperi berikut: 

1. Personaliti jenis buah limau (oren, lemon, limau)

  • Menyukai warna-warna cerah dan gemar melakukan satu perkara yang mencabar. 
  • Menjadi rujukan dan tempat kawan-kawan meluahkan masalah kerana anda berkebolehan memberikan nasihat dan pandangan. 
  • Seorang yang sukar dimengerti dan untuk mengenali diri anda memerlukan masa yang lama. 
  • Sesekali perlu memperuntukkan masa untuk bersendiri atau berehat. 
  • Suka bergembira dan akan mengisi waktu lapang dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan. 

2. Personaliti jenis buah tropika (pisang, betik, jambu, kiwi, nenas)

  • Suka kepada pengalaman-pengalaman yang baharu. 
  • Orang di sekeliling anda pasti akan menghadapi masalah dengan anda disebabkan cara hidup anda yang terlalu aktif. 
  • Tidak suka kepada sesuatu yang menyakitkan emosi 
  • Pasangan anda biasanya seorang yang tenang dan menerima diri anda dengan seadanya. 
  • Suka meluangkan masa bersama individu yang rapat sahaja. 
  • Rakan-rakan mungkin menganggap anda seorang yang mudah didekati dan gemar berseronok. Namun anda ada pendirian sendiri. 
  • Tidak suka menunjukkan perasaan sedih di hadapan orang lain. 

3. Personaliti jenis buah ladang (epal, pear)

  • Seorang yang kuat dan mampu menjadi tunjang kekuatan kepada orang di sekeliling anda. 
  • Bijak membebaskan diri dari tekanan hidup dan tidak mudah mengalah. 
  • Tidak mementingkan diri sendiri. 
  • Suka berdikari dan tidak suka bergantung kepada orang lain untuk hidup. 
  • Ramai menganggap anda seorang yang berpengetahuan luas dan sememangnya anda begitu. 
  • Suka mencari ilmu dan berusaha melakukan yang terbaik untuk sesuatu perkara berdasarkan kepada pengetahuan yang dimiliki. 
  • Anda pasti akan berjaya di dalam apa sahaja perkara yang dilakukan. 

4. Personaliti jenis buah tembikai (tembikai, tembikai susu)

  • Seorang yang pemurah dan suka membantu orang lain yang memerlukan. Pasti anda akan berasa puas apabila berjaya membantu orang lain. 
  • Memiliki ramai kawan rapat kerana keperibadian anda yang romantik. 
  • Berusaha kuat untuk mengatasi kegagalan serta kekecewaan dalam hidup. 
  • Lambang keperibadian diri anda adalah seorang yang berhati-hati. 

5. Personaliti jenis buah ceri (blackberi, strawberi, raspberi, cranberi, anggur, tomato)

  • Seorang yang gemarkan keseronokan dan suka menggembirakan orang lain. 
  • Mudah mendapat teman baru kerana seorang yang peramah. 
  • Berusaha melakukan apa sahaja demi menjadikan sesiapa sahaja sebagai teman anda walaupun dengan cara yang pelik. 
  • Memiliki citarasa yang unik, hinggakan pemilihab makanan juga mesti perasa lain dari orang lain.  
  • Pelbagai personaliti yang wujud dalam diri anda membuatkan anda sukar untuk dinilai. 
  • Namun keseluruhan personaliti adalah saling berkaitan dan akan menonjolkan diri anda yang unik serta memiliki keistimewaan tersendiri. 
  • Lambang keperibadian diri anda adalah seorang yang berpersonaliti. 

6. Personaliti jenis buah kekacang (walnut, hazelnut, gajus)

  • Seorang yang mudah beremosi dan mood boleh berubah secara tiba-tiba tanpa sebab. 
  • Lambang keperibadian diri anda adalah ketegasan. 
  • Jika anda yakin berada di pihak yang benar, pasti anda akan berdegil dan tegas dengan pendirian anda.  
  • Orang di sekeliling anda pasti akan lebih berhati-hati dengan kedegilan anda. 
  • Anda seorang yang setia di dalam hubungan percintaan sehingga sanggup menyisihkan rakan-rakan. 
  • Perlu memperuntukkan masa yang lama untuk seseorang itu memahami dan mengenali diri anda. Ini kerana anda seorang yang berpendirian. 

7. Personaliti jenis buah labu (labu, kundur) 

  • Seorang yang berpandangan jauh dan sering berasa curiga. 
  • Orang di sekeliling anda pasti berasa kagum dengan pengetahuan yang anda miliki dan kebolehan anda menghuraikan persoalan. 
  • Tekanan kerja pada permulaannya akan membuatkan anda beraaa kecewa. Namun, lama-kelamaan semangat anda kembali pulih dan anda akan lebih bersedia untuk menangani cabaran yang mendatang. 
  • Lambang keperibadian diri anda adalah bersopan santun dan memiliki hati yang lembut.  

Informasi mengenai buah dan personaliti ini hanyalah sekadar kajian sahaja. Ambil informasi ini sebagai bacaan santai. Jika ada kaitan dengan diri anda, mungkin ia adalah kebetulan sahaja. Jangan terlalu taksub mempercayai sesuatu informasi tanpa fakta yang kukuh. Yang baik jadikan tauladan dan yang tidak baik jadikan sebagai pengajaran. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3lwSXgK
November 13, 2020
thumbnail

Petua Tradisional Mengharumkan Bau Badan

Posted by mimisabreena on

Tubuh badan yang berbau harum akan meningkatkan keyakinan diri seseorang. Amalan turun-temurun mengharumkan badan ini telah diamalkan oleh nenek moyang kita sejak zaman dahulu. Petua ini hanya menggunakan bahan-bahan semulajadi tanpa bahan kimia berbahaya. 

Petua Tradisional Mengharumkan Bau Badan
Petua Tradisional Mengharumkan Bau Badan - Gambar kredit: freepik.com

Bahan-bahan ini mudah didapati di dapur anda sahaja. Petua mengharumkan badan adalah seperti berikut:

1. Mengharumkan bau badan dengan daun pandan

  • Potong kecil 15 hingga 20 helai daun pandan. Kemudian kisar daun pandan ini dengan sedikit air. Tapis dan ambil jus daun pandan untuk dijadikan sebagai mandian. 
  • Campurkan jus daun pandan dengan air biasa di dalam baldi. Gosokkan jus ini di celah ketiak dan pelipat badan. Ia akan mengeluarkan bau yang harum. Amalkan sekali seminggu. Ia baik untuk mengatasi masalah bau badan. 

2. Mengharumkan bau badan dengan kulit buah oren

  • Cincang halus kulit buah oren. Kemudian celur kulit oren ini ke dalam secawan air panas yang mendidih. Biarkan sehingga ia menjadi kuning dan lembut. 
  • Sapukan air limau tersebut ke seluruh badan setiap kali selepas mandi. Badan akan berasa segar dan berbau harum.

3. Mengharumkan bau badan dengan serai dan daun pandan

  • Ambil tiga batang serai (diketuk) dan dua helai daun pandan. Rebus serai dalam dua cawan air. Kemudian tambahkan daun pandan. Tutup dengan penutup periuk. Rebus sehingga air rebusan tinggal lebih kurang satu cawan.
  • Minum air rebusan ini ketika ianya masih suam. Pasti badan anda akan berbau harum. 
Semoga perkongsian petua mengharumkan badan ini bermanfaat untuk diamalkan. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3ks9H7y
November 13, 2020
thumbnail

Tip Goreng Ikan Keli Tak Letup

Posted by mimisabreena on

Menggoreng ikan keli adalah sangat mencabar. Terutamanya bila ikan keli yang sedang digoreng meletup-letup dan minyaknya terpercik terkena muka. Mesti selepas itu anda akan rasa trauma sekejap untuk menggoreng ikan keli. Kali ini akan dikongsikan beberapa tip menggoreng ikan keli tak letup seperti yang diamalkan oleh mak-mak zaman dahulu.

Tip Goreng Ikan Keli Tak Letup
Tip Goreng Ikan Keli Tak Letup

Selain daripada ikan keli yang digoreng tak meletup, ikan keli juga tidak melekat di kuali dan rasanya sedap. Tip menggoreng ikan keli tak letup adalah seperti berikut:

1. Membersihkan ikan keli

Basuh ikan keli bersih-bersih. Buang darah beku (hanyir)  pada bahagian tulang perut ikan keli, kepala dan belakang kepala ikan keli. Basuh ikan dengan limau nipis untuk hilangkan hanyir. Kemudian basuh dengan tepung gandum bagi menghilangkan lendir di badan ikan. Toskan ikan keli di atas penapis jarang. 


2. Persediaan menggoreng ikan keli

Kelar badan ikan keli. Tambahkan garam secukup rasa, kunyit dan sedikit tepung gandum. Gaul sebati ikan keli bersama bahan-bahan perasa ini. 


3. Menggoreng ikan keli

Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana besar. Pastikan minyak betul-betul panas. Kemudian masukkan dua hingga tiga keping asam keping ke dalam minyak panas. Masukkan ikan keli ke dalam minyak panas dan gorenglah seperti biasa. Ikan keli yang digoreng tak letup dan tak melekat di kuali.


Semoga perkongsian tip menggoreng ikan keli tak letup ini boleh dicuba oleh anda. Sepanjang saya praktikkan tip ini, ikan keli yang digoreng tak letup dan rasa ikan keli rangup serta sedap. Selamat mencuba.  


from Tip dan Petua https://ift.tt/3pqa5qZ
November 13, 2020
thumbnail

Petua Membasuh Beras

Posted by mimisabreena on Thursday, November 12, 2020

Membasuh beras juga mempunyai petua dan adab yang tersendiri. Ini kerana nasi adalah makanan utama yang dimakan oleh ahli keluarga kita. Seeloknya, bersihkan tangan anda terlebih dahulu dengan sabun sebelum mula memasak bagi mencegah kuman dan membersihkan kotoran pada tangan. 

Petua Membasuh Beras
Petua Membasuh Beras - Gambar kredit: tastecooking.com 

Selain itu, amalan petua dan adab membasuh beras ini juga merupakan salah satu ikhtiar untuk melembutkan hati semua ahli keluarga yang makan nasi yang dimasak. Berikut dikongsikan petua membasuh beras:

1. Menggunakan tangan kanan untuk membasuh beras dengan membaca:
 بِسْمِ  ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
"Dengan nama Allah yang Maha pengasih dan penyayang"

2. Kacau mengikut arah lawan jarum jam (seperti arah tawaf) sambil membaca:
ليس لها من دون الله كاشفة
Laysa lahaa min duunillaahi kaasyifah
" Tidak ada penyembuh selain dari Allah"

3. Boleh juga baca " Yaa Latiif " sebanyak tiga kali. 

4. Kemudian berselawat ke atas nabi Muhammad SAW:
Allahumma Sholli Alaa Sayyidina Muhammad Wa Aalihi Wa Shohbihi Wasallim

5. Niatkan dalam hati supaya dilembutkan hati diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

6. Ulang basuhan sebanyak tiga kali atau sehingga beras bersih (air jernih). 

7. Boleh tambah dua hingga tiga ulas bawang putih ke dalam nasi untuk membuatkan nasi lambat basi.  

Semoga perkongsian petua dan adab membasuh beras ini bermanfaat untuk diamalkan pada setiap hari. Berniat dan berdoalah perkara yang baik-baik, insyaa Allah doa kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan seharian.  


from Tip dan Petua https://ift.tt/3eR0O6m
November 12, 2020
thumbnail

Khasiat Kacang Pistachio, Gajus dan Badam

Posted by mimisabreena on

Kacang pistachio, gajus dan badam adalah berasal dari sumber tumbuh-tumbuhan. Ketiga-tiga jenis kacang ini kaya dengan zat protein, besi, folat (vitamin B9) dan kalsium. Ianya sesuai dijadikan snek ringan kepada anda yang sedang dalam program menurunkan berat badan. 

Kacang pistachio, gajus dan badam - Gambar kredit: foodbevg.com

Namun, kacang pistachio, gajus dan badam ini perlu diambil dalam kuantiti yang ditetapkan seperti dalam piramid makanan iaitu dimakan secara sederhana sebanyak ½ – 1 sajian kekacang sehari. Khasiat utama kacang pistachio, gajus dan badam adalah seperti berikut: 

1. Kacang Pistachio - Mengurangkan risiko penyakit jantung

Pengambilan kacang pistachio sebanyak dua hingga tiga auns sehari boleh meningkatkan HDL kolestrol baik dan juga membantu mengurangkan faktor risiko penyakit jantung, mengawal berat badan dan oxidative status (yang menyumbang kepada penyakit jantung). Pengambilan pistachio juga dapat mengurangkan peningkatan gula dalam darah. 


2. Kacang gajus - Menstabilkan tekanan darah

Kajian mendapati diet pemakanan yang mengandungi 20 peratus daripada gajus memperbaiki tekanan darah mereka yang mengalami sindrom metabolic. Ia juga dapat meningkatkan potensi anti oksida yang berfungsi untuk meneutralkan radikal bebas.

.

3. Kacang badam - Menurunkan kolestrol dan mengurangkan berat badan

Kajian kesihatan mendapati diet pemakanan yang mengandungi kacang badam boleh mengurangkan paras kolestrol. Badam juga adalah sumber diet rendah kalori yang boleh membantu penurunan berat badan dan mengurangkan tekanan darah bagi mereka yang mengalami masalah obesiti. Pengambilan sebanyak satu auns atau 28 gm badam pada setiap hari dipercayai dapat menurunkan peningkatan paras gula darah yang biasa dialami selepas makan oleh pesakit diabetes sebanyak 30 peratus. Pengambilan kacang badam juga boleh mengurangkan keradangan yang dialami oleh pesakit diabetes. Kacang badam juga membantu pertumbuhan bakteria baik dalam usus termasuk bifidobacteria dan lactobacillus.


Selain itu, kacang pistachio, gajus dan badam bermanfaat untuk wanita hamil iaitu baik untuk kesihatan ibu dan janin terutama pada trimester pertama kehamilan. Oleh itu, jadikan ketiga-tiga jenis kacang ini sebagai kudapan yang menyihatkan.


from Tip dan Petua https://ift.tt/3kr3Dfu
November 12, 2020
thumbnail

Petua Tradisional Menegangkan Payudara

Posted by mimisabreena on

Payudara wanita boleh menjadi kendur selepas bersalin atau selepas proses penurunan berat badan yang drastik. Masalah ini selalunya dihadapi oleh wanita yang memiliki payudara yang bersaiz besar. Terdapat petua tradisional untuk menegangkan payudara yang boleh dicuba sendiri di rumah. 

Petua tradisional menegangkan payudara - Gambar kredit: selaromutah.com

Petua tradisional ini telah diamalkan oleh nenek moyang kita sejak turun-menurun. Berikut dikongsikan beberapa petua tradisional untuk menegangkan payudara:

1. Tegangkan payudara dengan dauh sirih
  • Ambil beberapa helai daun sirih yang berdaun lebar dan bewarna hijau tua (seeloknya sirih Melayu). 
  • Sapukan minyak kelapa (seeloknya minyak kelapa diproses sendiri) pada daun sirih berkenaan.
  • Layur daun sirih dengan menggunakan api. 
  • Tekapkan daun sirih berkenaan pada payudara dan biarkan ia kering.
  • Ulang langkah-langkah di atas sebanyak beberapa kali. 
2. Tegangkan payudara dengan labu
  • Kupas setengah biji labu saiz sederhana dan rebus dengan sedikit air sehingga labu menjadi lembik dan air sedikit kering. 
  • Ramas labu yang telah lembik ketika ianya masih suam. 
  • Sapukan pada seluruh payudara anda dan biarkan ia mengeringnlebih kurang 15-20 minit. 
  • Lakukan sebanyak dua kali seminggu.
3. Tegangkan payudara dengan telur
  • Pecahkan dua biji telur dan ambil bahagian putihnya sahaja.
  • Sapukan putih telur pada seluruh payudara anda dan biarkan ia mengering selama semalaman.
  • Lakukan setiap tiga kali seminggu.
Diharapkan perkongsian petua tradisional menegangkan payudara ini bermanfaat untuk dicuba. Petua tradisional perlu diamalkan secara konsisten dan mungkin mengambil masa untuk mendapatkan hasilnya. Yang penting anda menggunakan bahan semulajadi dan tidak menggunakan bahan kimia berbahaya. Selamat mencuba. 



from Tip dan Petua https://ift.tt/3nkdOnU
November 12, 2020
thumbnail

Tip Cerahkan Kulit Muka dengan Masker Buatan Sendiri

Posted by mimisabreena on Wednesday, November 11, 2020

Memiliki kulit muka yang cerah dan bersih tanpa cela adalah impian setiap wanita. Dengan hanya menggunakan bahan yang tersedia di dapur dan tanpa bahan kimia berbahaya, anda boleh buat sendiri campuran masker untuk mencerahkan kulit muka.

Cerahkan Kulit Muka dengan Masker Buatan Sendiri
Cerahkan Kulit Muka dengan Masker Buatan Sendiri

Bahan-bahan dan cara penyediaan campuran masker untuk mencerahkan kulit muka tanpa bahan kimia seperti berikut:

Bahan-bahan untuk membuat masker mencerahkan kulit muka:
  • 1 mangkuk beras pulut
  • 1 sudu besar garam
  • 1 sudu besar gula
Cara-cara untuk menyediakan masker mencerahkan kulit muka:
  1. Sangai (goreng tanpa minyak) beras pulut, garam dan gula dengan api yang sederhana di dalam kuali. 
  2. Goreng sehingga beras kelihatan warna kekuningan dan gula serta garam sebati. Kemudian boleh tutup api.
  3. Masukkan semua bahan yang telah digoreng ini ke dalam pengisar kering. Kisar bahan-bahan ini. Simpan dalam bekas bertutup.
  4. Cara-cara menggunakannya adalah dengan mengambil sedikit serbuk dan campurkan dengan sedikit air suam. Kacau sehingga menjadi bentuk pes.
  5. Sapukan pada keseluruhan muka anda dan biarkan ia kering lebih kurang 15-20 minit. 
  6. Setelah kering, anda boleh lembapkan dengan sedikit air dan gosok perlahan-lahan dengan hujung jari seperti scrub muka. 
  7. Bilas dengan bersih dan keringkan dengan tuala.
Masker dan scrub ini boleh dibuat dua kali seminggu bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Selain itu, anda juga boleh campurkan bahan-bahan lain seperti timun yang dilenyek, tomato, jus lemon, madu, serbuk kunyit atau yogurt. Apa yang penting adalah bahan-bahan ini selamat kerana tidak mengandungi bahan kimia. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3eNKGCC
November 11, 2020
thumbnail

Tip Memilih Kacang Bendi

Posted by mimisabreena on Tuesday, November 10, 2020

Kacang bendi sedap dimasak pelbagai masakan seperti ditumis, ditambah dalam kari ikan dan asam pedas, direbus cicah sambal belacan dan pelbagai lagi masakan lain. Namun untuk memilih kacang bendi yang muda dan lembut adalah sukar jika tidak tahu caranya. Jika dulu kita lihat di pasar, ibu-ibu akan mematahkan bahagian hujung kacang bendi yang dijual bagi memastikan kacang itu lembut dan muda. Sebenarnya cara ini tidak elok kerana kacang bendi yang dijual akan rosak selepas dipatahkan hujungnya. 

Tip memilih kacang bendi
Tip memilih kacang bendi - Gambar kredit: timesofindia.indiatimes.com

Tip memilih kacang bendi ini saya dapat dari seorang kawan. Yang semestinya tip ini akan menjimatkan masa anda kerana tidak perlu membelek kacang bendi terlalu lama dan anda tidak perlu lagi memilih kacang bendi dengan mematahkan bahagian hujungnya. Tip memilih kacang bendi hanya dengan cara melihat pada bahagian tangkai kacang bendi seperti berikut:

1. Tangkai kacang bendi tiada lubang

Jika tiada lubang pada tangkai, kacang bendi ini adalah sangat muda. Kacang bendi ini sesuai dimakan dengan cara dicelur dan dicicah makan dengan sambal belacan. Kacang bendi ini tidak sesuai dimasak kari atau asam pedas kerana ia terlalu lembut dan akan hancur jika dimasak lama. 


2. Tangkai kacang bendi ada lubang saiz sebesar jarum

Kacang bendi dengan saiz lubang tangkai sebesar jarum adalah kategori muda dan sesuai dimasak kari dan asam pedas. Kacang bendi begini yang sesuai dipilih untuk dibeli. 


3. Tangkai kacang bendi ada lubang saiz besar

Kacang bendi dengan saiz lubang besar pada tangkainya tidak sesuai dimasak dan dimakan kerana kacang bendi sudah menjadi keras dan tua.


Semoga perkongsian tip memilih kacang bendi ini bermanfaat untuk anda. Selepas ini tidak perlu lagi mematahkan bahagian hujung kacang bendi untuk memilih kacang bendi yang muda dan lembut. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/36rITzd
November 10, 2020
thumbnail

Teknik Mengenalpasti Madu Kelulut Asli

Posted by mimisabreena on

Secara mata kasar semua madu kelulut kelihatan sama, tidak kira madu kelulut asli atau madu kelulut campuran. Namun, jika diperhatikan betul-betul dan dibuat beberapa ujian pasti anda akan nampak perbezaannya. Terdapat teknik bagi mengenalpasti sama ada madu kelulut asli atau pun tidak asli (campuran). 

Mengenalpasti madu kelulut asli - Gambar kredit: food.ndtv.com

Pada kali ini akan dikongsikan beberapa teknik bagi mengenalpasti madu kelulut asli seperti berikut:

1. Teknik mengenalpasti madu kelulut asli dengan ujian pembakaran

Ambil setengah sudu besar madu dengan sudu besi. Kemudian layur sudu besi berkenaan di atas api. Lihat buih-buih yang terhasil. Jika buih yang terhasil kecil seperti buih air mendidih, maka madu tersebut adalah palsu. Manakala, madu kelulut asli yang dipanaskan akan menghasilkan buih yang kelihatan berkembang.


2. Teknik mengenalpasti madu kelulut asli dengan air suam

Masukkan sedikit madu kelulut ke dalam segelas air suam. Jika madu kelulut adalah asli, ianya tidak cepat larut dan air tetap jernih sebelum dikacau. Manakala madu palsu akan mudah larut dan air cepat menjadi keruh. 


3. Teknik mengenalpasti madu kelulut asli dengan melihat lapisan atas madu

Letakkan madu kelulut dalam botol kecil dan tutup kemas. Biarkan selama seminggu tanpa diusik. Jika madu kelulut asli, akan kelihatan gelang propolis/ pollen muncul di lapisan atas botol madu.


4. Teknik mengenalpasti madu kelulut asli dengan deria rasa dan bau 

Madu kelulut asli mempunyai rasa yang menyengat seakan rasa yang tajam. Bau aromanya juga boleh dibezakan. 


5. Teknik mengenalpasti madu kelulut asli dengan melihat tekstur madu selepas disimpan di tempat lembap

Madu kelulut asli akan menjadi semakin cair teksturnya jika disimpan dalam botol yang diletakkan di tempat yang lembap. Ini kerana madu kelulut asli adalah bersifat menyerap air. 


Oleh itu, semoga perkongsian mengenai teknik mengenalpasti madu kelulut asli ini bermanfaat untuk anda. Jangan mudah terpedaya dengan harga madu kelulut yang terlalu murah dan tidak masuk akal, sebaliknya lakukan penyelidikan terlebih dahulu  sebelum membeli. Jika anda membeli madu kelulut asli, pasti anda akan dapat memanfaatkan khasiat madu kelulut berkenaan dengan sepenuhnya. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3ndmcpg
November 10, 2020
thumbnail

Teknik Masak Telur Gedik

Posted by mimisabreena on

Tip masak telur gedik ini saya dapat daripada Facebook Encik Adnan bin Mat Abu MAHN atau dikenali sebagai ABAH. 

Teknik masak telur gedik yang dikongsikan sangat mudah untuk dicuba. Jombtengok caranya seperti berikut:
  1. Panaskan air dalam periuk dan masak air sehingga mendidih.
  2. Kemudian tutup api dan masukkan telur. Terus tutup periuk. 
  3. Anda boleh pilih tahap gedik yang dikehendaki iaitu sama ada 6 minit,7 minit atau 8 minit. 
  4. Telur gedik siap untuk dihidang.
Telur gedik
Telur gedik 6 minit

Telur gedik
Telur gedik 7 minit

Telur gedik
Telur gedik 8 minit

Selamat mencuba masak telur gedik mengikut citarasa anda. 

Info dan gambar kredit: Facebook Encik Adnan bin Mat Abu MAHN


from Tip dan Petua https://ift.tt/3kcJUjz
November 10, 2020
thumbnail

Air Rebusan untuk Keluarkan Angin dari Badan

Posted by mimisabreena on Monday, November 9, 2020

Pelbagai kaedah tradisional yang boleh dicuba untuk mengeluarkan angin dari badan. Salah satunya adalah dengan minum air rebusan herba. Kaedah ini hanya menggunakan tiga bahan dapur sahaja. Selain daripada mudah disediakan, air rebusan ini menggunakan bahan-bahan semulajadi dan tidak menggunakan bahan kimia berbahaya.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:

  1. 1 batang serai (diketuk)
  2. 1 inci halia (diketuk)
  3. 1 sudu besar halba
  4. 3 cawan air bertapis
  5. Sedikit madu (kali ini saya tidak campur madu)

Cara menyediakannya adalah seperti berikut:

  1. Masukkan serai, halia, halba dan air ke dalam periuk. 
  2. Masak di atas api yang sederhana sehingga air tinggal lebih kurang 1 cawan. 
  3. Masukkan air rebusan ke dalam cawan dan boleh dicampur dengan sedikit madu jika suka.
  4. Air ini boleh diminum ketika masih suam. 
  5. Sebaiknya berselawat terlebih dahulu ke atas nabi Muhammad SAW sebelum diminum. 

Air rebusan herba ini adalah kaedah tradisional yang dapat mengeluarkan angin dari badan. Sakit kepala akan berkurangan dan badan akan rasa semakin ringan apabila angin keluar dari badan. Sebaiknya dapatkan nasihat dari doktor terlebih dahulu sebelum mencuba kaedah ini. 



from Tip dan Petua https://ift.tt/36j0kC7
November 09, 2020
thumbnail

Amalan Rahsia Hidup Tenang

Posted by mimisabreena on Sunday, November 8, 2020

Ketenangan itu tidak dapat diukur dengan wang dan harta. Ada orang hidup miskin, tapi hatinya sentiasa tenang dan merasa cukup di atas nikmat yang Allah SWT berikan. Ada pula orang yang duit dan hartanya banyak, tapi hati tidak tenang, tidur tidak lena dan selalu gelisah. Apakah rahsia untuk hidup tenang dan sentiasa rasa cukup?

Rahsia Hidup Tenang dan Rasa Cukup
Rahsia Hidup Tenang dan Rasa Cukup - Gambar kredit: utne.com

Rahsia untuk hidup tenang, merasa cukup dengan nikmat Allah SWT dan sentiasa dipermudahkan urusan seharian oleh Allah SWT adalah seperti berikut:

1. Sentiasa amalkan solat di awal waktu

Solat yang di awal waktu, sempurna dan kusyuk pasti dapat memberikan ketenangan kepada kita. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan solat.” Allah SWT juga berfirman dalam ayat lain yang bermaksud: “Benar-benar sangat beruntung orang-orang yang membersihkan diri dengan beriman dan sentiasa berzikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan solat.” (Surah Al-A’la, ayat 14-15). Selain daripada menunaikan solat 5 waktu, perbanyakkan juga menunaikan solat sunat seperti taubat, hajat, duha dan lain-lain. 


2. Setiap kali selepas solat, bacalah sekurang-kurangnya selembar al-Quran

Ternyata al-Quran dapat menjadi penawar jiwa yang sedang resah. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra, ayat 82 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman...”. Bacalah sekurang-kurangnya selembar mukasurat selepas solat. Pasti hati akan berasa tenang. 


3. Selalu menyebut nama Allah SWT sebanyak mungkin

Allah SWT telah berfirman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud: “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Oleh itu, banyakkan berzikir tidak mengira masa siang atau malam. Jika terlalu sibuk bekerja, amalkan zikir Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 33 kali setiap kali selepas solat fardhu. Perbanyakkan juga berselawat buat Baginda Rasulullah SAW pada setiap waktu. Insyaa Allah hati akan berasa tenang dan dipermudahkan urusan oleh Allah SWT. 


4.  Sarungkan pakaian mengikut syariat Allah SWT 

Berpakaianlah mengikut syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Kewajipan menutup aurat ada ditegaskan dalam firman Allah SWT dalam surah an-Nur, ayat 31 yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita”. Apabila kita patuh pada perintah Allah SWT, pasti hati akan berasa tenang. 


5. Sedekah pada setiap hari daripada harta yang disayangi

Bersedekahlah pada setiap hari dengan hati yang ikhlas, pasti hati akan berasa tenang dan rezeki akan sentiasa rasa cukup. Sedekah sebenarnya akan semakin menambah rezeki kita. Jika tidak mampu bersedekah dengan duit dan harta, sedekahkan sekuntum senyuman kepada orang di sekeliling anda. 


Oleh itu, dengan membuat kebaikan pasti hati kita akan merasa tenang. Bersyukurlah di atas segala nikmat yang Allah SWT berika, pasti anda akan sentiasa merasa tenang dan cukup. Sifat tamak selalu akan buatkan hati gelisah dan merasa tidak cukup. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/2Im37C7
November 08, 2020
thumbnail

Bahaya Makanan Bergoreng

Posted by mimisabreena on Saturday, November 7, 2020

Makanan bergoreng pada masa kini sinonim dengan gaya hidup dan kehendak masyarakat di Malaysia. Pelbagai menu makanan bergoreng yang menggunakan minyak banyak seperti ikan goreng, ayam goreng, kuih-muih, pisang goreng, kerepek, kentang goreng, nasi goreng, mee goreng dan pelbagai lagi disediakan. Makanan bergoreng mudah dan cepat disediakan serta enak rasanya. 

Bahaya makanan bergoreng - Gambar kredit: nytimes.com

Namun, tahukah anda sebenarnya pengambilan makanan bergoreng secara berlebihan boleh membahayakan kesihatan? Pada kali ini akan dikongsikan beberapa bahaya makanan bergoreng seperti berikut:

1. Bahaya makanan bergoreng tinggi kalori

Kaedah memasak secara menggoreng menggunakan minyak yang banyak akan menambahkan kalori di dalam makanan. Tambahan pula, apabila makanan digoreng dalam minyak, ianya akan kehilangan air dan menyerap lemak yang akan menambahkan lagi kandungan kalorinya. Oleh itu, makanan bergoreng tinggi lemak dan kalori berbanding yang dimasak dengan kaedah lain. Misalnya, sebiji kentang rebus (100 gram) mengandungi 93 kalori dan 0 gram lemak. Namun, apabila ia digoreng, jumlah kalorinya meningkat kepada 319 kalori dan 17 gram lemak. 


2. Bahaya makanan bergoreng tinggi kandungan lemak trans

Lemak trans terbentuk apabila lemak tak tepu mengalami proses hidrogenasi. Pengilang makanan akan menghidrogenkan lemak menggunakan tekanan tinggi dan gas hidrogen untuk meningkatkan jangka hayat dan kestabilannya. Selain itu, proses hidrogenasi juga boleh terjadi apabila minyak dipanaskan pada suhu yang terlalu tinggi ketika memasak. Proses ini akan mengubah struktur kimia lemak dan menjadikannya sukar untuk dipecahkan oleh badan. Kesannya lemak trans ini akan menyebabkan masalah kesihatan seperti penyakit jantung, kanser, diabetes dan obesiti.


3. Bahaya makanan bergoreng mengandungi bahan akrilamida berbahaya

Kajian mendapati bahawa makanan bergoreng yang tinggi kanji mengandungi bahan yang dikenali sebagai akrilamida iaitu sejenis bahan yang terbentuk apabila makanan dipanaskan dengan menggunakan minyak ataupun digoreng pada suhu tinggi melebihi 120 darjah celsius. Akrilamida mendedahkan kepada risiko penyakit kanser dan merupakan salah satu bahan toksik kepada tubuh badan.

Oleh itu, kawal pengambilan makanan bergoreng pada setiap hari bagi mengurangkan risiko penyakit kerana kandungan kalorinya tinggi dan mengandungi lemak trans. Atau anda boleh ubah kaedah memasak kepada merebus, mengukus atau makan mentah sayur-sayuran yang tidak menggunakan minyak. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/32nwtHG
November 07, 2020
thumbnail

Teknik Menabung Duit di Rumah

Posted by mimisabreena on Wednesday, November 4, 2020

Menabung duit di rumah memerlukan disiplin serta motivasi yang tinggi bagi memastikan anda sentiasa bersemangat. Teknik menabung secara kreatif adalah pelu bagi memastikan anda sentiasa konsisten. Amalan ini juga perlu dipupuk sejak anak-anak masih kecil dan di bangku sekolah.  

Teknik Menabung Duit di Rumah
Teknik Menabung Duit di Rumah - Gambarkredit: bnm.gov.my

Pada kali ini dikongsikan beberapa teknik menabung duit secara mudah dan santai. Seluruh ahli keluarga iaitu ayah, ibu dan anak-anak boleh melakukannya bersama-sama. Tekniknya adalah seperti berikut: 


1. Sediakan tabung

Anda boleh menggunakan bekas terpakai seperti botol mineral besar atau balang biskut raya untuk dijadikan tabung. Hias bekas berkenaan agar kelihatan menarik. Selain menarik dan kreatif, penggunaan botol dan bekas terpakai ini lebih mesra alam. Anda juga boleh membeli tabung di kedai Eco Shop, Ninso atau Mr. Diy. 


2. Tetapkan nilai

Tetapkan nilai duit yang anda fokus untuk simpan. Contohnya duit kertas RM5. Anda boleh berbelanja seperti biasa. Namun, setiap kali berbelanja asingkan duit RM5 untuk disimpan. Jangan sesekali gunakan duit RM5 berkenaan. Jika terpaksa pecahkan duit RM50, dapat duit kecil RM5 simpan. 


3. Masukkan duit dalam tabung

Sebaik sahaja pulang ke rumah, terus keluarkan semua duit RM10 dari beg atau poket dan masukkan kesemuanya ke dalam tabung yang disediakan. Jika terdapat lebihan wang saku anak- anak bernilai RM5, galakkan mereka untuk menambah duit dalam tabung.


4. Tempoh simpanan

Anda boleh bermula pada bila-bila masa. Ulangi langkah 1-3 pada setiap hari. Kebiasaannya tempoh masa yang sesuai untuk membuka tabung simpanan adalah pada setiap hujung tahun. 


5. Kira duit 

Cukup sahaja setahun, ajaklah ahli keluarga berkumpul untuk sama-sama mengira duit tabung. Pasti anda sekeluarga akan rasa teruja pada waktu ini. Apabila melihat jumlahnya lagi membuatkan anda rasa gembira dan tidak menyesal. 


Kenapa duit RM5 sesuai untuk teknik menyimpan ini?

1. Mudah dikesan

Warna hijau duit kertas RM5 mudah dikesan dengan mata kasar. 


2. Nilai yang mampu untuk seisi keluarga

Nilai RM5 tidaklah terlalu membebankan anda sekeluarga, terutamanya kepada anak-anak kecil yang baru belajar menabung.  

3. Motivasi diri sendiri

Permulaannya mungkin rasa terpaksa, tapi lama-kelamaan akan rasa seronok. Apabila melihat bekas simpanan duit semakin penuh, pasti anak-anak akan lebih bersemangat untuk menambah duit RM5 ke dalam tabung berkenaan. 


Percayalah bahawa duit RM1,000 tidak akan menjadi RM1,000 jika tidak cukup RM5. Walaupun nilai itu mungkin dilihat kecil oleh sesetengah orang, tapi ianya sangat besar bagi orang yang menghargainya. Bak kata pepatah Melayu, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Duit ini mungkin boleh digunakan untuk tambahan persediaan membeli keperluan persekolahan anak-anak di awal tahun. Atau sebaiknya bolehlah menyimpan duit berkenaan dalam akaun bank anda dan anak-anak. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3mWvar8
November 04, 2020
thumbnail

Batu Karang di Taman Laut

Posted by mimisabreena on

Tahukah anda, batu karang mengambil masa beratus tahun untuk membentuk struktur yang wujud seperti sekarang? Batu karang juga telah menjadi habitat kepada lebih daripada 3,000 spesies hidupan  di lautan. Sebelum ini ada ditulis mengenai isu kelunturan karang

Batu karang di Taman Laut
Batu karang di Taman Laut - Gambar kredit: inhabitat.com

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan di dalam memulihara batu karang dan hidupan marin. Antaranya adalah melalui pewujudan Taman Laut. Sehingga kini terdapat 42 buah pulau telah dizonkan sebagai Taman Laut di Malaysia. 

Taman laut juga dibuka kepada umum bagi tujuan pelancongan. Aktiviti seperti snorkeling dan scuba diving boleh dilakukan oleh pengunjung di kawasan Taman Laut. Pengunjung akan dapat melihat keindahan batu karang dan hidupan marin melalui aktiviti-aktiviti ini. 

Namun, terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh pengunjung yang datang ke Taman Laut seperti berikut: 
  • Pengunjung dilarang berdiri di atas batu karang di Taman Laut.
  • Sekiranya menaiki kapal, sauh adalah dilarang dilabuhkan di kawasan Taman Laut. 
  • Pengunjung tidak dibenarkan menyentuh dan mengganggu karang di dalam Taman Laut.
  • Pengunjung dilarang membuang sampah di kawasan Taman Laut. 

Oleh itu, setiap pengunjung perlulah mematuhi peraturan yang ditetapkan ketika mengunjungi Taman Laut. Tanggungjawab memulihara khazanah alam yang indah ini adalah tanggungjawab bersama agar ianya kekal dan keindahannya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/2TUOcS1
November 04, 2020
thumbnail

Tip Masak Cepat Dalam 30 Minit

Posted by mimisabreena on

Memasak sendiri di rumah adalah bagus kerana ianya menyihatkan terutamanya kepada individu yang sedang mengawal berat badan. Selain itu, memasak juga dapat menjimatkan perbelanjaan seharian kita. Namun, bagi wanita yang bekerjaya perlu ketahui tip masak cepat dalam masa kurang dari 30 minit bagi pengurusan masa yang baik. 

Masak cepat dalam 30 minit
Masak cepat dalam 30 minit - Gambar kredit: looseitblog.com

Lain orang pasti lain cara dan tip ketika di dapur. Pada kali ini saya kongsikan tip masak cepat 30 minit cara saya seperti berikut:

1. Sediakan jadual menu masakan untuk dua minggu

Rancang menu yang akan dimasak pada setiap hari sepanjang dua minggu dan catatkan dalam kertas yang ditampal pada peti sejuk atau dinding. Selalunya saya akan sediakan jadual menu pada hari barang basah akan dibeli. Ini dapat menjimatkan masa anda kerana tidak perlu berfikir lama untuk mula memasak. Beli stok bahan mentah untuk dua minggu. 


2. Sediakan bahan masakan lebih awal

Selepas membeli bahan mentah, semua bahan akan dibersihkan dan dipotong. Lauk seperti ikan, udang, sotong dan ayam akan dibersihkan, masukkan ke dalam plastik lutsinar dengan kuantiti untuk sekali masak dan simpan di bahagian sejuk beku peti sejuk. Sayur dibersihkan, dikeringkan, dipotong, masukkan ke dalam bekas bertutup yang dilapik tisu. Pes cili pula saya akan kisar cili kering bersama bawang merah dan bawang putih serta sedikit minyak masak, kemudian tumis sehingga pecah minyak, masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti ais. Bawang besar, merah dan putih untuk menumis dikupas kulit, letak dalam bekas bertutup dilapik tisu dan simpan dalam peti sejuk. Jika rajin boleh sediakan juga stok sambal belacan dengan cara kisar cili padi, cili besar, belacan, perahan air limau kasturi, sedikit gula dan sedikit garam, kemudian masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk.


3. Ketika memasak boleh buat dua perkara dalam satu masa

Masak nasi terlebih dahulu. Sementara itu, anda boleh masak lauk dan menumis sayur serentak. Sambil itu juga anda boleh membasuh pinggan mangkuk dan bersihkan dapur. Dalam masa 30 minit lauk pauk siap dimasak dan dapur kembali kemas.  


Oleh itu, diharapkan agar perkongsian tip masak cepat dalam 30 minit ini bermanfaat untuk anda. Pengurusan masa adalah perkara penting di dalam kehidupan seharian kita. Jika aktiviti memasak berjalan lancar, pasti anda dapat menumpukan perhatian untuk melakukan tugasan seharian yang lain. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3mUNYH3
November 04, 2020
thumbnail

Kebaikan Bersenam

Posted by mimisabreena on

Menurut laporan bertajuk "The Lancet Global Health" yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 September 2020, penduduk negara mundur cenderung untuk aktif dua kali ganda berbanding penduduk negara maju dan kaya. Ini mungkin disebabkan faktor mereka yang berpendapatan tinggi lebih cenderung mempunyai pekerjaan yang lebih pasif dan kemudahan pengangkutan yang lebih selesa menyebabkan aktiviti fizikal menjadi rendah. 

Kebaikan bersenam
Kebaikan bersenam - Gambar kredit: vox.com

Ada mitos yang mengatakan bahawa senaman hanya untuk individu yang gemuk atau obesiti. Individu kurus dianggap tidak perlu bersenam dan menjaga pemakanan. Ternyata tanggapan itu adalah salah semata-mata. Sebenarnya senaman adalah perlu kepada semua individu tidak mengira bentuk badan, jantina dan usia. Namun, jenis senaman yang sesuai adalah bergantung kepada keupayaan fizikal dan tahap kesihatan seseorang. Beberapa kebaikan bersenam adalah seperti berikut:

1. Senaman meningkatkan kecergasan fizikal, mengawal tekanan darah menguatkan jantung dan mengawal paras glukosa dalam darah

Ketika bersenam, pernafasan menjadi semakin laju dan degupan jantung lebih pantas yang menyebabkan lebih banyak gula atau glukosa diperlukan bagi memenuhi keperluan tenaga yang tinggi dan hasilnya gula dalam darah semakin menurun serta membantu insulin berfungsi dengan baik. Bersenam juga dapat melancarkan peredaran darah di seluruh tubuh badan dan sekaligus meningkatkan tahap kecergasan fizikal anda. 


2. Senaman memperbaiki keseimbangan serta koordinasi badan dan melambatkan osteoprosis

Individu yang terlalu gemuk atau terlalu kurus cenderung untuk bongkok disebabkan oleh koordinasi badan tidak seimbang. Selain daripada memastikan keperluan kalsium yang cukup, senaman penting untuk pengukuhan kepadatan tulang. Senaman yang sesuai dilakukan adalah seperti berjalan laju, berlari dan aerobik juga dapat mencegah osteoporosis


3. Senaman meningkatkan tenaga untuk melakukan tugasan harian

Senaman dikatakan dapat meningkatkan tenaga dan mengelakkan tubuh badan menjadi lesu dan mengantuk.


4. Senaman meningkatkan harga diri dan mengurangkan keresaha serta mempercepatkan pemulihan dari penyakit dan tekanan mental.

Tekanan akan membuatkan urat di bahagian bahu dan leher anda berasa tegang. Atasi masalah ini dengan melakukan senaman. Tahukah anda, ketika bersenam hormon endorphin akan dirembeskan yang membuatkan anda berasa gembira dan ceria. Anda boleh melalukan senaman secara berkumpulan seperti zumba dan aerobik. 


5. Senaman berpeluang bergaul dengan orang ramai

Bersenam dan bersukan dapat meluaskan jaringan persahabatan melalui aktiviti yang dilakukan bersama. Anda berpeluang untuk bergaul dan mengenali lebih ramai kawan baru. 

Oleh itu, mulakan pagi anda dengan senaman regangan ringan sebaik sahaja bangun dari tidur. Kepada anda yang baru berjinak-jinak untuk bersenam, boleh mulakan dengan senaman berjalan laju dan naik turun tangga sekurang 15 -20 minit. Lama-kelamaan anda boleh tingkatkan dengan senaman lebih berat seperti berlari laju. Bagi mengelakkan rasa bosan, anda boleh mempelbagaikan jenis senaman. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3oVrKq9
November 04, 2020
thumbnail

Kelunturan Karang

Posted by mimisabreena on Tuesday, November 3, 2020

Tahukah anda, terumbu karang merupakan habitat semulajadi kepada ikan-ikan di lautan? Terumbu karang juga merupakan salah satu daripada daya tarikan pelancong di dalam pengembaraan melihat khazanah di dasar laut ketika mereka melakukan aktiviti snorkeling atau menyelam di kawasan Taman Laut. Tanpa kita sedari, terumbu karang kini terancam akibat masalah kelunturan karang (coral bleaching).

Kelunturan Karang
Kelunturan karang - Gambar kredit: theguardian.com

Apakah itu kelunturan karang? 

Kelunturan karang berlaku apabila warna asal pada karang iaitu kecoklatan atau kehijauan berubah kepada warna putih pucat. 

Sebenarnya pada permukaan karang terdapat sejenis alga (zooxanthellae) yang berfungsi untuk memberikan pigmen warna dan nutrien kepada karang. Namun, apabila alga ini mati, ia akan menyebabkan masalah kelunturan karang. 

Kematian alga (zooxanthellae) adalah disebabkan oleh: 
  • Peningkatan suhu air akibat pemanasan global dan perubahan kualiti air seperti kemasinan air secara drastik
  • Cahaya dan sinar ultraungu berlebihan dari matahari 
  • Serangan daripada pemangsa seperti Crown of Thorns (Tapak Sulaiman) 

Oleh itu, salah satu daripada usaha yang dilakukan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi mengatasi masalah kelunturan karang adalah dengan cara menutup kawasan berkenaan serta menanam semula karang untuk proses pemuliharaan.


from Tip dan Petua https://ift.tt/3kUkTel
November 03, 2020
thumbnail

Tip Tauge Tahan Lama

Posted by mimisabreena on

Sayur tauge yang disimpan dalam peti sejuk selalu tidak bertahan lama dan cepat rosak. Tapi sejak praktikkan tip ini, tauge yang saya simpan bertahan lebih dari seminggu. Tip ini saya dapat dari kawan saya. 

Tip Tauge Tahan Lama

Cara untuk tauge tahan lama yang saya praktikkan adalah seperti berikut:

  1. Cuci tauge dan toskan.
  2. Masukkan air tapis (apa-apa jenama tak kisah, asalkan air tapis sejuk) ke dalam bekas. 
  3. Masukkan perahan air limau kasturi (1 biji) dan 1 keping asam keping ke dalam air.Kacau campuran air dengan jari. 
  4. Masukkan tauge ke dalam bekas berkenaan. Jika air kurang, tambah sehingga melepasi paras tauge. 
  5. Tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk di bahagian bawah. 
Selamat mencuba.


from Tip dan Petua https://ift.tt/34UsnbL
November 03, 2020
thumbnail

Tip Pilih Cadar Bilik Tidur

Posted by mimisabreena on Monday, November 2, 2020

Bilik tidur adalah ruang khusus untuk merehatkan badan dan minda yang kepenatan setelah seharian bekerja. Pemilihan cadar yang sesuai adalah penting bagi mendapatkan suasana tidur yang tenang dan selesa. 

Pemilihan cadar
Pemilihan cadar bilik tidur - Gambar kredit: decoraid.com

Terdapat beberapa perkara asas yang perlu diberi perhatian di dalam pemilihan cadar iaitu: 

1. Pilih cadar ikut jenis fabrik

Jenis fabrik yang sesuai untuk cuaca di Malaysia adalah kain kapas. Ini kerana cuaca di negara kita yang agak panas yang mungkin menyebabkan kita berpeluh ketika tidur. Kain kapas akan mudah menyerap peluh. Jika cuaca sejuk, cadar yang diperbuat dari bulu adalah sesuai. 


2. Pilih cadar ikut saiz katil dan tilam

Terdapat pelbagai saiz cadar yang sesuai dengan katil dan tilam anda. Tentukan sama ada tilam anda jenis single, queen atau king dan pilih cadar mengikut saiz tilam ini.


3. Pilih cadar ikut warna yang sesuai

Warna cadar yang sesuai untuk bilik tidur adalah warna-warna lembut seperti hijau muda, biru muda, putih dan merah jambu. 


Oleh itu, pemilihan cadar adalah penting bagi memastikan tidur yang selesa dan lena. Pilihlah cadar mengikut kesesuaian dan citarasa anda. Yang penting mata bilik tidur akan kelihatan kemas dan sedap mata memandang. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/2TMNINZ
November 02, 2020
thumbnail

7 Kunci Ketenangan Hati

Posted by mimisabreena on

Ketenangan hati adalah penting di dalam menjalani kehidupan seharian. Tanpa ketenangan, hati akan gelisah dan jiwa tidak tenteram. Ramai yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan ketenangan hati. Sehingga ada individu yang tersalah langkah memilih jalan yang salah seperti mengambil dadah dan arak. 

Kunci ketenangan hati
Kunci ketenangan hati - Gambar kredit: pinterest.com

Namun, ada juga orang yang tetap bersabar dan tenang menjalani kehidupan yang sukar walaupun diuji dengan pelbagai dugaan. Berikut dikongsikan beberapa kunci ketenangan hati:

1. Tenang dengan mendekatkan diri dengan Allah SWT 

Mendekatkan diri dengan Allah SWT adalah kunci yang paling asas untuk mendapatkan ketenangan. Laksanakan segala suruhan-Nya dan jauhi larangan-Nya. Perbanyakkan amalan solat sunat taubat, tahajud, membaca al-Quran dan berzikir untuk mendapatkan ketenangan hati. 


2. Tenang dengan berfikiran positif 

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Oleh itu, pentingnya untuk kita memastikan supaya otak kita fikirkan perkara yang positif dan baik sahaja. Kawal perasaan anda jika terlalu geram atau marah. Pasti ketenangan akan diperolehi.


3. Tenang dengan bersikap ikhlas dan berbaik sangka 

Sentiasa ikhlaskan hati anda untuk menerima takdir dan ketentuan dari Allah SWT (qadak dan qadar). Elakkan bersangka buruk terhadap seseorang atau sesuatu. Berbaik sangka terhadap Allah SWT dan sentiasa menganggap bahawa setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya. 


4. Tenang dengan berada di kalangan orang dan tempat yang baik

Kata orang, jika kita mencari ketenangan hati, dekatilah orang yang baik-baik. Penuhi masa dengan berbual dengan orang yang baik, pasti banyak nasihat yang akan diberikan oleh mereka. Tempat yang baik seperti masjid dan majlis agama juga selalunya akan dikunjungi oleh orang yang baik. 


5. Tenang dengan memaafkan

Memaafkan adalah perkara yang sukar dilakukan. Namun, ketahuilah bahawa dengan memaafkan kesalahan orang pasti hati kita akan berasa tenang. Manakala dendam adalah racun kepada ketenangan hati. Cuba amalkan untuk memaafkan kesalahan orang lain setiap kali sebelum anda tidur. 


6. Tenang dengan bersikap redha 

Kesilapan dan kesalahan yang lalu ada pengalaman yang beharga dalam hidup kita. Jadikan ia sebagai pengajaran yang pasti tidak akan diulangi lagi. Redha dengan ketentuan Allah SWT dan bertaubatlah agar kesalahan itu diampuni oleh Allah SWT. 


7. Tenang dengan bersyukur 

Rezeki Allah SWT luas di seluruh pelusuk dunia. Sentiasalah bersyukur di atas segala kurniaan Allah SWT walaupun sedikit. Bersyukur kerana Allah kurniaan segala pancaindera kepada kita dengan sempurna. Terima kelebihan dan kekurangan diri dengan seadanya. Insya-Allah hati anda akan menjadi tenang. 



Oleh itu, kunci ketenangan hati yang sebenarnya adalah terletak di tangan kita sendiri. Terpulang kepada kita  bagaimana cara untuk membuka kunci itu agar ianya menuju ke jalan yang diredai oleh Allah SWT. Berhentilah mengeluh, sebaliknya bertindaklah mengubah diri kita ke arah yang lebih baik.  


from Tip dan Petua https://ift.tt/2TOza04
November 02, 2020
thumbnail

Tip Mengekalkan Warna Gincu di Bibir

Posted by mimisabreena on

Gincu adalah pelengkap kepada solekan di wajah. Bibir tanpa gincu kelihatan pucat dan tidak bermaya. Namun, bagaimana cara untuk mengekalkan warna gincu di bibir? 

Mengekalkan warna gincu di bibir
Mengekalkan warna gincu di bibir - Gambar kredit: huffpost.com

Kali ini dikongsikan beberapa tip untuk mengekalkan warna gincu di bibir seperti berikut:

1. Kekalkan gincu di bibir dengan bedak asas

Sapukan sedikit bedak asas pada bibir. Kemudian pakai gincu seperti biasa. Pasti warna gincu akan kekal di bibir.


2. Kekalkan gincu di bibir dengan tisu

Jika gincu anda jenis berkilat atau sedikit berminyak, ianya jenis glossy. Oles gincu di bibir anda seperti biasa. Kemudian tekap bibir dengan sehelai tisu bagi menghasilkan kemasan gincu yang kelihatan matte dan kekal lama


3. Pilih gincu jenis matte

Gincu jenis matte kekal lama warnanya. Namun, sebelum mengoleskan gincu jenis matte di bibir anda, sapukan pelembap bibir terlebih dahulu. Ini kerana gincu jenis matte mungkin akan mengeringkan bibir anda.


Oleh itu, pilihlah gincu yang sesuai dengan bibir anda. Apa yang penting, pilihlah gincu yang diperbuat daripada bahan-bahan yang berkualiti untuk mengekalkan kelembapan dan kecantikan semulajadi bibir anda. Diharap perkongsian tip mengekalkan warna gincu di bibir ini dapat membantu anda. 


from Tip dan Petua https://ift.tt/3esoU7q
November 02, 2020