Wanita suka bekerja dengan perasaan dan tujuan yang salah. Berpagi-pagi dengan ingatan negatif, tergesa-gesa takut dimarahi ketua, terlalu lalai dengan kesibukan tugas, lupa sedang beribadah serta bermacam-macam lagi kesalahan kecil mahupun besar dilakukan dari saat kaki melangkah keluar ke pejabat…
Kenapa wanita bekerja perlu membetulkan niat? Semoga perkongsian Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad ini dapat mengembalikan niat kita yang tersimpang jauh, seterusnya menyedarkan betapa pentingnya niat bekerja untuk ibadah dan kerana Allah.
=================
Semuanya bermula dari langkah pertama. Dalam perjalanan kita ke tempat kerja, sentiasalah dalam zikrullah. InsyaAllah akan diberi bimbingan dan kecukupan. Tetapkan niat nak jaga aurat, jaga solat, jaga pergaulan dan jaga amanah bahawa kita dibayar gaji serta tak berlaku syubhah.
Macam dari ceramah yang saya dengar, ada seorang ulama zaman dulu yang hidupnya sampai 160 tahun. Bila ditanya apakah rahsia beliau sampai sihat macam tu, sebab masa mudanya dia menjaga semua anggota badan daripada membuat maksiat. Jadi Allah pelihara tubuh badannya sebab jauh daripada maksiat.
Itu salah satu sebabnya kita mesti jaga anggota badan supaya jangan buat perkara yang tidak disukai. Tapi bila kita bekerja, apa caranya untuk selalu kuat menghadapi ujian?
BACA JUGA: “Macam Mana Baik Pun Suami Kita, Isteri Kena Ada Income Sendiri!’
(1) Jaga Allah
Pertama sekali, jagalah Allah. Jaga diri kita supaya jalankan semua suruhan Allah dan tinggalkan semua larangan-Nya. Bila kita jaga takwa, segala urusan dunia ini Allah akan pelihara… anak, keluarga dan harta.
Kita kadang-kadang takut sangat dengan harta kita, kita takut jadi papa. Sebenarnya kunci segala-galanya adalah jaga Allah. Jaga suruhan-Nya, buat suruhan-Nya, Allah akan pelihara kita.
Apabila dilanda ujian, jangan pernah merasa semua yang berlaku kerana makhluk. Makhluk ni asbab jer. Semua tu dari Allah. Bila kita ada keyakinan dan tauhid bahawa semua daripada Allah, maka kita takkan jadi orang yang reaktif.
Memang kita disuruh usaha, tetapi jangan bergantung atau terperangkap dengan usaha kita. Ikhtiar kita asbab saja. Ikhtiar kita cuma amalan soleh tapi hasilnya hanya Allah yang mengizinkan.
Apa berlaku kita ambil iktibar. Kalau benda yang baik, kita bersyukur. Kalau tak baik, kita bersabar. Maknanya reaksi kita patutnya dua saja, SABAR dan SYUKUR.
BACA JUGA: Ketahui Perkara Yang Di Sukai Wanita Tapi Di Benci Lelaki
Cara kita berfikir waktu diuji adalah ketauhidan. Sebab tu fardu ain kita yang utama adalah akidah kita. Doa kita adalah akidah dan tauhid kita.
Tauhid ni ada dua iaitu Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah. Rububiyyah ni semua agama percaya. Dia percaya Allah yang memberi keperluan dan menjaga langit tapi Uluhiyyah pula adalah cara kita mentauhidkan Allah dengan ibadah.
Sebab itu penting kita jangan menyembah makhluk. Memanglah kita tak sujud depan dia tapi jika kita terlampau takut dengan bos atau majikan MELEBIHI takut kita pada Allah, itu tak boleh. Jangan benarkan otak kita berfikir macam ni.
(2) Tindakan
Jangan bertindak ikut suasana, jadilah orang yang boleh menerima keadaan. Ingat, cara kita melihat sesuatu adalah cerminan dalaman kita. Kalau kita seorang yang reaktif, apa yang berlaku di luar akan mempengaruhi jiwa kita. Tapi kalau kita seorang yang proaktif, kita akan bertindak dengan rasional serta dengan cara yang diredai Allah.
Suasana yang suka kita syukur dan kalau sebaliknya, kita sabar. Tuhan nak tengok kita ni nak menambah amal soleh atau amal salah. Nak taat ke maksiat. Nak ikutkan iman ke nafsu. Nak buat dosa ke pahala. Dalam setiap saat, kita suruh badan kita buat perkara yang Allah reda. Jangan ada ketirisan tenaga.
(3) Hindari Dosa
Jaga mata kita daripada tengok kisah-kisah yang membuka keaiban orang, telinga dengar umpatan orang, mulut kritik orang, sakit hati dengan orang, tangan menaip yang tak betul, tangan pukul anak, kaki pergi tempat maksiat, kalau orang perempuan selalu pakai kasut dengan tapak bunyi ‘tap-tap-tap’ sampai menarik perhatian. Ini yang anggota kita mesti hindari.
(4) Makan Benda Yang Halal
Selalu niat dalam hati, ‘Ya Allah, kalau boleh hari ni aku nak jaga anggotaku, nak mulakan menjaga hatiku’. Tapi hati kita ni tak boleh bersih kalau kita makan benda yang haram atau syubhah. Sumber rezeki tu mesti halal.
Jangan cakap kita nak pergi kerja sebab nak cari sesuap nasi. Tapi cakap kita nak pergi kerja dengan amalan soleh dan menjemput rahmat Allah.
(5) Berpakaian
Saya nak menyerulah pada wanita, terutamanya yang sudah 40 tahun ke atas, kalau masih pakai tudung yang singkat, baju ikut bentuk badan, garang pada suami, suka menunjuk dengan kawan-kawan, masih sombong dengan mak mertua lagi, malas solat sunat, tak tahajud atau dhuha, tak baca Al-Quran… cubalah bertaubat. Doa diberi kekuatan.
PESANAN
- Orang yang paling bijak ialah orang yang ingat mati. Segala aktiviti kita, ingatlah mati. Fikir macam mana diri kita di Padang Mahsyar nanti. Fikir juga pasal anak cucu kita, mereka syirik ke tidak, bagaimana aurat mereka, dosa pahala mereka. Sentiasalah berdoa.
- Kita ni setiap kali bila dengar sesuatu yang tak baik pasal seseorang, kita jangan umpat orang tu. Jangan hukum dia. Berdoa supaya dia dapat hidayah. Berdoa supaya ujian dia tak tertimpa pada keluarga kita sebab takut keluarga kita tak terdaya.
- Nampak orang terima rasuah, kita doakan dia. Doa supaya dia sempat mohon ampun dan masuk syurga. Minta anak cucu kita tak ditimpa ujian yang sama.
- Hentikan mencari berita tapi carilah ilmu. Hentikan mencari perhatian tapi berilah perhatian pada anak-anak.
- Kurangkan Whatsapp dan Facebook kecuali untuk benda yang mendekatkan kita pada Allah.
- Jangan kita senyum kerana budaya tapi senyumlah kerana sunnah.
- Amalkan selawat tafrijiyah untuk menghilangkan kesempitan dengan izin Allah SWT.
- Niat jumpa orang jangan harapkan sesuatu tapi niatlah kerana Allah. Nanti akan sia-sia.
- Kalau ada rakan Facebook yang membawa kita ke jalan lagha, berhentilah.
- Jangan cakap benda tak baik pada diri sendiri. Sebut benda-benda baik sebab Allah jadikan kita hamba yang mulia.
Kredit: Norzalina Mohd Alias
The post PERINGATAN Untuk Wanita Bekerja! Kenapa Prof Dr. Muhaya Nasihat Betulkan Niat Kita? appeared first on Petua Ibu.
from Petua Ibu http://ift.tt/2CW4yTv
0 comments:
Post a Comment